Sufipedia

Kitab Ad-Durrun Nafis (Permata Yang Indah)
SYEIKH MUHAMMAD NAFIS AL-BANJARI

Muqaddimah

Dengan nama Allah Ta'ala yang Amat Murah pada menganugerahi nikmat yang besar-besar lagi amat menganugerahi nikmat yang seni-seni jua aku (Syeikh Muhammad Nafis Idris al-Banjari) mulai risalah ini.

Bermula segala jenis puji itu tertentu bagi Allah Ta'ala, Tuhan yang memuliakan anak Adam, dan memilih Ia daripada mereka itu akan ulama, dan memilih Ia pula daripada mereka itu akan segala yang zahid (zuhud), dan yang hakim (bijaksana), dan yang karim.

Dan melebihkan Ia daripada mereka itu akan segala orang yang mengenal akan Zat Allah Taala, dan akan segala sifatnya, dan akan segala asma’nya. Dan memerasakan Ia akan mereka itu lazat kasih akan Dia. Dan telah memperlihat Ia akan mereka itu akan hakikat segala asyik daripada bumi dan langit.

Dan rahmat Allah dan selamanya atas penghulu kita Nabi Muhammad menyudahi akan segala nabi, yang dijadikan ia daripada nur zatNya, dan daripadanyalah dijadikan sekalian perkara. Dan atas segala keluarganya dan sahabatnya yang penghulu segala aulia’. Dan atas segala yang mengikut bagi mereka itu, dan segala yang mengikut bagi segala yang mengikut bagi mereka itu dengan kebajikan hingga hari kiamat.

TUJUAN PENYUSUNAN KITAB

Dan kemudian daripada itu maka tatkala adalah pada tahun 1200 daripada hijrah Nabi yang mulia atas empunya dia daripada Tuhannya rahmat yang amat lebih (melimpah) dan haluan yang sangat suci, (bahawa)sanya telah meminta daripada aku setengah daripada segala saudaraku membukakan kiranya Allah Taala akan hatiku dan hatinya dengan cahaya musyahadah dan makrifah, bahawa kuperbuatkan baginya suatu risalah yang sempurna dengan bahasa hari(an) yang lemah lembut supaya memberi manfaat dengan dia akan orang yang tiada mengetahui akan bahasa Arab yang nyata:
  1. Pada menyatakan wahdatul zat, dan wahdatul sifat, dan wahdatul asma’, dan wahdatul af’al
  2. Supaya melepaskan ia akan segala orang yang salik itu daripada SYIRIK KHAFI, dan daripada ria’, dan ‘ujub bagi segala amal
  3. dan menyatakan setengah daripada segala ilmu hakikat
  4. dan menyatakan setengah daripada maqam fawam ahli tasauf yang mulia
  5. dan menyatakan setengah daripada segala musyahadah mereka itu bagi Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan
Maka aku perkenankan akan dia kepada berbuat risalah (kitab) yang demikian itu, dan jika tiada aku ahli (mahir) bagi yang demikian itu sekalipun. Padahal aku minta tolong kepada Allah Ta'ala dan berpegang atasNya pada mentahqiqkan (meneliti semula) yang dituntut dan yang dimaksudkan atas sekira-kira barang yang zahir (nampak) ia bagiku daripada segala perkataan orang yang mempunyai minat dan syuhud.

Dan kunamai akan risalah ini ‘Ad-Durrun Nafis’, artinya ‘Permata yang Indah’, (tujuannya) pada menyatakan wahdatul af’al dan asma’ dan sifat dan zat yang suci. Padahal harap aku daripada Allah Ta'ala bahwa memberi manfaat Ia dengan risalah ini akan segala orang yang murid, dan bahwa dijadikan-Nya kiranya akan dia tulus ikhlas bagi zat hak Allah Ta'ala, dan pertaruhan (bekalan) bagiku dan bagi mereka itu pada hari kiamat.

Dan aku aturkan akan dia atas satu muqaddimah (pendahuluan), dan empat fasal (bab), dan satu khatimah (penutup). Dan aku sebutkan di dalamnya beberapa masalah yang tinggi-tinggi yang diambil daripada beberapa kitab ahli tasauf.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SULUK

Bermula ini satu muqaddimah pada menyatakan segala perkara yang membatalkan ia akan orang yang salik, dan yang menegahkan dia daripada ‘SAMPAI’ kepada Allah Ta'ala. Ketahui olehmu hai salik! Bahwasanya wajib atasmu itu memeliharakan dirimu daripada segala maksiat sama ada maksiat itu batin atau zahir, dan melepaskan dirimu daripada segala yang membatalkan sulukmu, dan daripada yang menegahkan dikau daripada ‘sampai’ kepada Allah Taala.

Bermula segala perkara yang membatalkan suluk itu amat banyak:
  1. Setengah daripadanya ‘kasala’, artinya segan (malas) daripada mengerjakan ibadah serta kuasa mengerjakan dia. Kata Abu Zar: “........ barangsiapa berperangai dengan kasala, maka tiada memperolehi ia akan bahagia di dalam dunia dan di dalam akhirat.
  2. Dan setengah daripadanya ‘futur’, artinya lemah daripada mendirikan ibadah sebab bimbang dengan dunia (takut kerugian ataupun terlepas).
  3. Dan setengah daripadanya ‘malal’, artinya jemu dan puas daripada memperbuat ia karena berulang-ulang. Padahal belum lagi (ber)hasil yang dikehendakinya.
Syahadan adalah sebab yang demikian itu sekaliannya karena kurang iman, dan dhaif (ke)yakin(an), dan buta mata hati, dan mengikutkan nafsu akan hawanya.

PERKARA-PERKARA YANG MENGHALANG ‘SAMPAI’ KEPADA ALLAH TAALA

Dan yang menegahkan (menghalang) ‘sampai’ orang yang salik kepada Allah itu pun amat banyak jua, dan setengah daripadanya:
  1. ‘SYIRIK KHAFI, artinya syirik yang tersembunyi (yang kebanyakan manusia tidak terperasan tentangnya) iaitu membangsakan (menisbahkan) perbuatan yang ‘TERBIT’ daripada makhluk itu kepada makhluk jua, tiada kepada Allah Taala. Karena HAKIKATnya segala perbuatan itu sekaliannya ‘TERBIT’ daripada Allah Ta'ala jua. Dan adalah makhluk itu seolah-olah alat perbuatan Allah Ta'ala. Maha Suci Allah Taala mengadakan sesuatu dengan alat.
  2. Dan setengah daripadanya ‘ria’’, artinya memperlihatkan ibadatnya itu kepada orang yang lain, atau menghendaki dengan ibadatnya itu akan suatu yang lain daripada Allah Taala, jikalau syurga sekalipun (beribadah karena mengharapkan sesuatu imbuhan).
  3. Setengah daripadanya ‘sum’ah’, artinya mengkhabar-khabarkan ibadahnya yang ikhlas kerana Allah Taala itu kepada orang supaya dibesar (dihebohkan) orang dan dimuliakan orang.
  4. Dan setengah daripadanya ‘ujub’ (berasa bangga dan hairan dengan kelebihan diri sendiri berbanding orang lain), artinya membesarkan dan membanyakkan akan ibadahnya, padahal tiada dilihatnya akan dia (semua keupayaannya) itu (hanyalah) nikmat (pemberian) daripada Allah Taala.
  5. Dan setengah daripadanya ‘suqut oleh wuquf maal ‘ibaadah’, artinya yang mendindingi iaitu memandang ia akan ibadahnya itu (berasal) daripada (usaha) dirinya, tiada dilihatnya akan dia (segala ibadah itu pada hakikatnya tidak lain ialah kurniaan) nikmat daripada Allah Ta'ala (ke) atasnya.
  6. Dan setengah daripadanya ‘hijab’, artinya dinding iaitu dinding ibadah daripada segala cahayanya dan perhiasannya dan keelokannya, kerana tiap-tiap satu amal ibadah itu baginya (ada) cahaya dan perhiasan dan keelokannya. Maka berhentilah orang salik kepadanya daripada melihat akan perhiasannya dan keelokannya (beribadah kerana terpikat dengan ibadah tersebut). Maka sukacitalah ia (orang itu) dengan dia (apa yang dilihatnya itu), dan lupalah ia akan Allah Taala daripada sebab yang demikian itu.
Syahadan, tiada yang melepaskan akan dikau salik daripada segala perkara bahaya yang tersebut (dia atas tadi) itu melainkan syuhudmu dan pandangmu akan bahwasanya segala perbuatan itu sekaliannya ‘terbit’ daripada Allah Taala jua, seperti yang lagi akan datang kenyataannya pada fasal (bab) yang pertama (selepas) ini, insyaAllah Ta'ala. (Selanjutnya - Fasal 1 Tauhidul Af'al)

Anda sedang membaca Kitab Ad-Durrun Nafis: Fasal Mukadimmah. Untuk mengikuti posting terbaru silahkan Liked Facebook Fanpage: Mistikus Cinta | Follow Twitter: @Sufipedia | Official LINE of Sufipedia Nusantara, LINE ID: @sufipedia | Telegram Group: @sufipedia. Terima kasih.

Post a Comment

 
Top