Sufipedia

Menurut keterangan yang diberikan oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam kitabnya yang berjudul Tanwir al-Qulub Fi Mu‘āmalat ‘Allām al-Ghuyub menyebutkan bahwa adab-adab yang perlu diperhatikan dan dijaga oleh seorang yang sālik terhadap syeikhnya adalah banyak, namun yang terpenting ialah seorang yang al-sālik tidak boleh sesekali menentang syeikhnya, sebaliknya ia membesarkan kedudukan syeikhnya itu lahir dan batin. Seterusnya ia tidak boleh memperkecilkan kedudukan syeikh, apalagi mencemoohnya di hadapan atau di belakangnya. Salah satu yang mesti diyakini oleh seorang yang al-sālik ialah segala maksud dalam suluknya hanya akan tercapai karena didikan dan asuhan daripada syeikhnya. Oleh sebab itu, jika ia terpengaruh dengan pandangan guru-guru yang lain selain daripada syeikhnya menyebabkan ia akan jauh daripada syeikhnya dan akan gagal menerima limpahan cahaya daripada syeikhnya. Maka sebagai seorang yang bertaraf al-sālik sewajarnya ia memperhatikan dengan bersungguh-sungguh tentang beberapa adab terhadap syeikhnya.

Keadaan ini telah dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi seperti di bawah ini:

a) Seorang yang al-sālik hendaklah menghormati dan menyanjung tinggi syeikhnya pada yang dzahir dan yang batin, dengan satu keyakinan bahwa dirinya tidak akan berjaya untuk mencapai cita-cita kerohaniannya kecuali berada di bawah asuhan dan didikan serta pimpinan daripada syeikhnya. Apabila seorang yang al-sālik itu tertarik hati kepada seorang syeikh yang lain maka terhalanglah dirinya itu daripada syeikhnya dan terhentilah limpahan nur ilāhi daripada syeikh tersebut ke atas dirinya.

b) Seorang yang al-sālik hendaklah senantisa menyerahkan diri sepenuhnya dzahir dan batin kepada syeikhnya. Senantiasa bersifat taat dan menurut perintah di samping ridha terhadap segala apa yang dibuat oleh syeikhnya. Seorang yang al-sālik hendaklah bersedia untuk berkhidmat kepada syeikhnya baik dengan harta maupun dengan jiwa raga. Semua hal tersebut adalah disebabkan oleh kemauan yang murni dan perasaan kasih sayang sebenarnya yang tidak dapat dinyatakan dengan jelas kecuali dengan cara yang tersebut. Malahan niat yang benar dan ikhlas itu tidak akan dapat dicapai kecuali dengan jalan yang demikian itu. Seorang al-sālik mestilah mempunyai keikhlasan hati di samping kerelaan jiwa demi pengorbanan kepada syeikhnya. Selepas itu barulah ia akan mendapat barakah irādah yang murni dan muhibbah. Semua ini akan dianggap sebagai penggerak dalam kehidupan seorang yang al-sālik.

c) Seorang yang al-sālik tidak boleh sama sekali menentang, menolak atau menghalangi apa saja yang dibuat oleh syeikhnya, sekalipun perbuatan tersebut pada dzahirnya bertentangan dengan hukum syarak yang membawa hukum haram. Sebagai contoh, seorang al-sālik tidak boleh berkata terhadap syeikhnya: Mengapakah tuan guru berbuat demikian? Jika seorang al-sālik berkata demikian terhadap syeikhnya maka ia tidak akan mencapai maksudnya (wusul kepada Allah S.W.T.) untuk selama-lamanya. Penentangan merupakan sikap dan akhlak yang tercela, lebih-lebih lagi apabila diperintahkan oleh syeikhnya. Dalam dispilin ilmu dan amalan tasawwuf ketaatan itu sudah dibaiahkan ketika seorang al-sālik mengambil amalan tersebut daripada syeikhnya. Dengan peraturan dan baiah yang demikian barangkali ramai orang termasuk pemerintah menaruh prasangka dan curiga di samping mengawasi ajaran tasawwuf dan tariqat di negara ini. Kadang-kadang berlaku pada seseorang syeikh itu perkara yang tercela nampak pada dzahirnya, tetapi pada batinnya adalah baik, seperti yang berlaku kepada Nabi Khidir a.s ketika bersama-sama dengan Nabi Musa a.s . Karena itulah setengah ahli tasawwuf bersya’ir seperti berikut:

Maksudnya: Engkau di hadapan syeikh seperti mayat di depan orang yang memandikannya.Senantiasa taat dibalik-balikkan mengikuti sekehendak hatinya. Jangan engkau menentang perintahnya yang engkau tidak mengetahuinya. Sebab,menentang begitu berarti engkau mencabarnya. Biarkanlah segala perbuatannya yang engkau lihat. Meskipun berlainan dengan syariat. Cukuplah sebagai contoh kisah Khidir membunuh anak desa. Bagaimana Musa bersungguh-sungguh menghalangnya. Bila rahasia Khidir jelas terbongkar. Musa tidak dapat berkata lagi. Dan coba meminta maaf daripada Khidir. Begitulah ada yang menakjubkan ilmu orang sufi.

d) Seorang yang al-sālik tidak boleh mempunyai sembarang keinginan untuk bergaul rapat dengan syeikhnya untuk tujuan dunia ataupun akhirat. Oleh itu pergaulan dengan syeikhnya hanyalah semata-mata untuk menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T.

e) Seorang yang al-sālik hendaklah menghilangkan segala ikhtiarnya karena berasa cukup dengan ikhtiar syeikhnya, sebagiannya atau keseluruhannya yang menyangkut soal ibadat ataupun adat kebiasaan hidup. Oleh itu antara tanda-tanda yang menunjukkan seorang yang al-sālik itu bersifat benar ialah jika syeikhnya menyuruhnya masuk ke dalam dapur api niscaya dilakukannya. Walau apapun yang berlaku seorang yang al-sālik tetap memegang teguh ikhtiar syeikhnya. Ia mesti mengakui seorang syeikh itu mempunyai kelebihan tersendiri dalam berikhtiar jika dibandingkan dengan ikhtiar seorang yang al-sālik.

f) Seorang yang al-sālik tidak boleh dengan sengaja mencari-cari rahasia hal keadaan syeikhnya sama sekali. Perbuatan yang sedemikian boleh menyebabkan kecelakaan dan padah pada diri seorang yang al-sālik itu sendiri. Sebagai seorang yang al-sālik seharusnya bersangka baik dengan syeikhnya dalam semua hal dan keadaan.

g) Sebagai seorang yang al-sālik, dia hendaklah senantiasa ingat kepada syeikhnya ketika ia berjauhan daripadanya (syeikh). Begitu juga jika syeikhnya itu ada bersama-samanya maka hendaklah ia senantiasa ingatkan dan membayangkan syeikhnya itu dalam hatinya ketika melakukan semua urusannya, baik ketika musafir maupun tidak, supaya mendapat keberkatan daripada syeikhnya itu.

h) Sebagai seorang yang al-sālik ia hendaklah merasakan bahwa setiap keberkatan yang telah didapatinya, baik keberkatan di dunia maupun di akhirat adalah karena syeikhnya itu. Sebagai contoh seorang yang al-sālik telah mendapat kelebihan daripada Allah S.W.T., atau petunjuk berupa ilhām atau keistimewaan ijābah, maka tidak boleh mengatakan atau menganggap hal itu disebabkan oleh keupayaan dan barakah daripada dirinya sendiri yang dekat dengan Allah S.W.T. Sebagai menghormati gurunya ia mestilah berkeyakinan bahwa ilhām dan anugerah daripada Allah S.W.T. itu adalah disebabkan oleh keberkatan dan kelebihan daripada syeikhnya itu.

i) Sebagai seorang yang al-sālik, ia tidak boleh merahasiakan atau menyembunyikan daripada syeikhnya sesuatu yang bersifat hāl, lintasan-lintasan hati, kejadian-kejadian, perkara-perkara yang dikashafkan dan kekeramatan yang telah dikaruniakan oleh Allah S.W.T. semasa di bawah pimpinan daripada syeikhnya itu. Segala sesuatu yang berkait dengan kehidupan seorang yang al-sālik tidak boleh dirahasiakan daripada syeikhnya. Ini merupakan satu adab dan peraturan yang mesti ditaati oleh seorang yang al-sālik.

j) Seorang yang al-sālik itu tidak boleh sengaja menunjuk-nunjuk atau mencari-cari ta‘bir berbagai-bagai kejadian, mimpi dan perkara-perkara yang dikashafkan ke atasnya. Walaupun ia mengetahui dengan jelas ta‘bir perkara-perkara yang tersebut itu, maka tidaklah boleh ia berpegang teguh terhadapnya. Apabila seorang yang al-sālik itu bertanya sesuatu kepada syeikhnya maka hendaklah ia bersabar menanti jawaban daripada syeikhnya itu dengan tidak mendesak agar syeikhnya memberikan jawaban yang segera. Begitu juga jika ada seseorang yang bertanya sesuatu kepada syeikhnya itu, maka janganlah sekali-kali al-sālik itu memberikan jawaban soal orang yang tersebut di hadapan syeikhnya.

k) Seorang yang al-sālik tidak boleh menyebar dan menyiarkan rahasia-rahasia syeikhnya, walau dengan cara apa pun.

l) Seorang yang al-sālik tidak boleh mengawini perempuan yang sudah diketahuinya bahwa syeikhnya sendiri ada hati mau mengawininya. Seorang yang al-sālik juga tidak boleh mengawini bekas isteri syeikhnya, sama ada bercerai hidup atau cerai mati.

m) Seorang yang al-sālik tidak boleh memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada syeikhnya, sekalipun syeikhnya meminta buah fikirannya dalam sesuatu perkara yang mau dibuat atau ditinggalkannya. Dalam keadaan itu seorang yang al-sālik hendaklah menyerahkan masalah yang dihadapi itu kepada syeikhnya saja dengan penuh keyakinan bahwa syeikhnya itu lebih tahu daripada dirinya dalam masalah tersebut dan syeikhnya itu sebenarnya tidak perlu meminta buah fikirannya. Sebenarnya perbuatan syeikh meminta buah fikiran al-sālik itu hanyalah sebagai satu kebijaksanaan syeikhnya supaya dapat ia menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap para al-sālikin itu saja. Bagaimanapun jika ada tanda-tanda bahwa syeikhnya itu memang benar-benar maukan buah fikiran al-sālik itu maka bolehlah ia memberikan buah fikirannya kepada syeikhnya dengan penuh kesopanan dan ketertiban.

n) Seorang yang al-sālik hendaklah menjaga, mengambil berat terhadap keluarga syeikh sepanjang kepergiannya. Seorang yang al-sālik hendaklah senantiasa berkhidmat dan berbuat baik dengan mengunjungi dan berkhidmat kepada keluarganya. Langkah seorang al-sālik ini merupakan perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi kasih sayang syeikh kepada diri al-sālik. Tegasnya dalam hal ini, kedudukan syeikh itu samalah dengan kedudukan para saudara dan kawan atau sahabat. Perlu diingat bahwa seluruh kerja yang dilakukan mesti dengan keikhlasan agar ia akan mendapat limpahan hidayat dan rahmat syeikhnya.

o) Seorang yang al-sālik apabila merasakan dirinya ada sifat ‘ujub dan riyā’ maka hendaklah ia segera berjumpa dan memberitahu kepada syeikhnya hal keadaan tersebut. Dengan berbuat demikian seorang syeikh akan dapat menunjukkan bagaimana cara untuk mengobati penyakit tersebut. Jika hal tersebut disembunyikan maka penyakit yang terdapat pada seorang yang al-sālik seperti al-riyā’ dan al-‘ujub itu akan bertambah subur dan sulit untuk dibuang daripada dirinya.

p) Sebagai seorang al-sālik, hendaklah menghargai setiap pemberian daripada syeikhnya. Setiap barang yang diberikan oleh syeikh kepada seorang yang al-sālik hendaklah dijaga dengan sebaiknya, bahkan jangan sekali-kali ia menjual barang pemberian tersebut kepada orang yang lain. Mungkin ada rahasia di balik pemberian tersebut yang berupa manfaat di dunia atau di akhirat di samping dapat menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T. di balik pemberian tersebut.

q) Seorang al-sālik hendaklah menjaga sifat benar (al-sidq) dalam kesungguhannya mentaati syeikhnya itu. Dalam konteks ini, para mashā’ikh tariqat bersepakat bahwa seorang al-sālik yang benar-benar sempurna ketaatannya kepada syeikh akan mencapai kemanisan ma‘rifatullah dalam dhawqnya, walaupun hanya berada dalam satu majlis saja di awal pergaulannya dengan syeikh tersebut.

r) Apabila seorang yang al-sālik menemui dan melihat beberapa kekurangan yang terdapat pada diri syeikh seperti banyak tidur di waktu mendekati subuh atau kurang wara‘nya dan sebagainya lagi maka sesungguhnya terkadang Allah S.W.T. sengaja menjadikan kekurangan tersebut pada diri seorang wali, yaitu ketika seorang wali itu berada dalam keadaan yang ghaflah. Bagaimanapun, selepas itu ia akan ingat dari kelalaiannya dan segera berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai dan mendapatkan apa yang sepatutnya ia capai. Hal ini ada diungkapkan oleh Ibn ‘Atāi’illah al- Iskandari dalam kata-kata hikmahnya yang antara lain menyebutkan:سبحان من ستر سر الخصوصية بظهور وصف البشرية وظهر بعظمة الربوبية في إظهار العبودية . Maksudnya: Maha suci Tuhan yang telah menutup rahasia khususiyyah dengan kelihatan sifat-sifat kemanusiaan. Dan Maha Suci Tuhan yang telah memperlihatkan (kepada hamba-hambaNya) dengan kebesaran ketuhanan dalam memperlihatkan (bekas-bekas) kehambaan manusia. Semua yang berlaku pada diri syeikh itu adalah dari kehendak dan ketentuan daripada Allah S.W.T. yang bertujuan untuk mendidik dan menunjuk ajar di samping mengasuh para al-sālikin. Dengan pengalaman tersebut, para al-sālikin akan dapat melihat dan menyaksikan kekurangan-kekurangan seperti yang berlaku kepada syeikhnya itu. Dengan demikian tentulah mereka akan dapat melepaskan diri dari kekurangan-kekurangan tersebut pada diri mereka. Kadang-kadang Allah S.W.T memberitahu seorang wali itu menerusi kekurangan-kekurangan yang berlaku pada dirinya, disebabkan kuatnya sifat benar (al-sidq) dalam maqām al-ridhā terhadap qadā’ dan qadarnya, atau pun disebabkan oleh lemahnya sifat benar (al-sidq) tersebut. Dengan cara tersebut Allah S.W.T akan memberikan kefahaman kepada para waliNya tentang perubahan ahwāl sifat benar mereka atau sifat dusta mereka kepada Allah S.W.T., agar para awliyā’ itu dapat bersyukur kepadaNya ataupun meminta ampunan daripadaNya apabila mereka menyadari kesalahan tersebut. Oleh itu sebagai seorang yang al-sālik wajiblah ke atasnya menjaga kepercayaannya terhadap kewibawaan syeikhnya itu. Oleh sebab itu sering kita dengar dari kalangan ahli-ahli tasawwuf satu ungkapan tentang hal ini dengan kata mereka:زلات المقربين رفعة لمقامتهم واستدلوا على ذلك بالاكل من الشجرة Maksudnya: Kesalahan dan tergelincirnya orang-orang ‘ārifin (karena melakukan sesuatu kesalahan) itu adalah peningkatan maqam mereka. Hal ini disandarkan kepada peristiwa Adam memakan buah khuldi. Pandangan dan pendapat ini disandarkan kepada peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa dengan memakan buah larangan. Namun kesalahan tersebut telah diampuni oleh Allah S.W.T dan disucikan keduanya dari segala dosa.

s) Sebagai seorang yang al-sālik janganlah membanyakkan percakapannya ketika berada di hadapan syeikhnya itu, sekalipun ia dibenarkan berbuat demikian. Sebagai seorang yang al-sālik dia seharusnya mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk dia bercakap-cakap dengan syeikhnya. Oleh itu janganlah ia bercakap dengan syeikhnya kecuali setelah mendapat izin daripadanya. Dengan izin itupun mestilah dilakukan dengan penuh beradab sopan, khusyuk dan tawādu‘’ tanpa melebih-lebihkan percakapannya tetapi cukup hanya sekadar yang diperlukan saja. Jika tidak beradab sopan seperti yang telah dijelaskan di atas, maka seorang yang al-sālik itu diharamkan dari mendapat karunia dengan terbuka hijāb hatinya. Apabila seorang yang al-sālik itu telah diharamkan dengan yang demikian itu maka ia tidak akan mendapat untuk kali keduanya kecuali hanya segelintir yang diperolehnya.

t) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah ia meninggikan suaranya apabila berada di hadapan syeikhnya. Karena dengan berbuat demikian, menurut anggapan ulama tasawwuf merupakan adab yang buruk. Tentu kita masih ingat satu peringatan daripada Allah S.W.T tentang hal ini seperti firmanNya:وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنكَرَ الاَْصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ . Maksudnya: Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai.

u) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah duduk dengan cara yang tidak beradab sopan di hadapan syeikhnya dan tidak duduk di atas sajadah yang diduduki oleh syeikhnya itu. Seorang yang al-sālik hendaklah ketika bersama-sama dengan syeikhnya dalam keadaan merendah dan menghinakan dirinya dan senantiasa sibuk untuk berkhidmat dengan syeikhnya itu. Setengah dari kalangan ahli tasawwuf mengatakan berkhidmat dengan syeikh itu sebagai satu amal soleh yang paling afdal.

v) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah bersegera melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh syeikh ke atas dirinya. Sesuatu perintah hendaklah dilaksanakan tanpa menunggu atau menangguh-nangguhkan atau mencuaikannya dengan berehat-rehat atau merasa tenteram sebelum menyelesaikan segala perintah dan arahan daripada syeikhnya.

w) Sebagai seorang yang al-sālik ia hendaklah berusaha untuk menjauhkan segala perkara yang tidak disukai dan digemari oleh syeikhnya. Seorang al-sālik juga tidak boleh melakukan sesuatu yang merendahkan dan menjatuhkan akhlaknya yang terpuji.

x) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah ia berdampingan dengan orang yang tidak disukai oleh syeikhnya di samping mengasihi orang yang dikasihi oleh syeikhnya.

y) Sebagai seorang yang al-sālik hendak senantiasa bersabar apabila tidak dihiraukan oleh syeikhnya. Perlu diingat seorang al-sālik tidak boleh berkata seumpama: Mengapakah syeikh melayani si fulan itu begini, sedangkan aku tidak dilayani dengan sedemikian itu?

z) Seorang yang al-sālik tidak boleh menyebarkan kata-kata syeikhnya kecuali setakat yang boleh difahami oleh orang ramai. (via delisufi)

Anda sedang membaca Adab-Adab Salik Terhadap Syekh Menurut Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi. Untuk mengikuti posting terbaru silahkan Liked Facebook Fanpage: Mistikus Cinta | Follow Twitter: @Sufipedia | Terima kasih.

Post a Comment

 
Top