Sufipedia

G
Ghaibul Ghuyub: Keghaiban alam dan makhluk masih bisa dijangkau oleh ilmu dan kasyaf atau masih bisa dijangkau oleh alam perasaan. Keghaiban Allah s.w.t melepas kemampuan jangkauan ilmu, kasyaf dan alam perasaan. Benteng keperkasaan Allah s.w.t menahan apa saja daripada menyentuh-Nya. Keghaiban yang begini dinamakan Ghaibul Ghuyub.

Ghaibul Mutlak: Sama seperti Ghaibul Ghuyub.

Ghirah: Kecemburuan beragama. Perasaan yang demikian menggerakkan seseorang menjaga kemuliaan dan kesucian agamanya dan mempertahankannya daripada musuh-musuh yang coba merusak agamanya dan juga penganut agamanya.

H
Habiballah: Lihat Hakikat Habiballah.

Hadrat: Rasa kehadiran Allah s.w.t yang dialami oleh hati, seperti rasa kehampiran-Nya, keperkasaan-Nya, keelokan-Nya dan sebagainya.

Hakikat: Kebenaran yang tulen dan sejati mengenai sesuatu perkara. Kebenaran yang paling benar adalah yang pada sisi Tuhan dan hanya Tuhan yang mengetahuinya dan ia dinamakan hakikat kepada sesuatu perkara itu. Manusia diberikan sedikit ilmu sahaja mengenai hakikat tersebut.

Hakikat Abdul Rab: Kewujudan hamba dalam ilmu Allah s.w.t. Dalam perjalanan kerohanian selepas peringkat fana seseorang itu memasuki peringkat baqa. Dalam kebaqaan itulah dia menyaksikan hakikat dirinya yang pada sisi Tuhan sebagai hamba Tuhan. Sebelum alam diciptakan wujud kehambaannya sudah pun ada pada sisi Tuhan. Hakikat dirinya itu tidak berpisah dengan Tuhan sejak azali sehinggalah kepada yang abadi. Penyaksian yang demikian membuatnya merasakan kekal atau baqa bersama-sama Allah s.w.t.

Hakikat Adam/Adamiyah: Hakikat kepada Nabi Adam a.s. Ia adalah kewujudan pada sisi Tuhan, dalam ilmu Tuhan, yang berdasarkan kepadanya Adam a.s dan keturunannya diciptakan. Apa sahaja yang diciptakan oleh Tuhan menunjukkan bahawa perkara tersebut sudahpun ada pada sisi-Nya sebelum ia diciptakan. Salik bertembung dengan Hakikat Adamiyah ketika terjadi keasyikan pada peringkat kalbu. Kesan pertembungan dengan Hakikat Adamiyah menyebabkan muncul cahaya nur berwarna kuning yang bergemerlapan pada cermin hati salik. Nur yang menyinari hati salik itu mendorong salik untuk kuat bertaubat kepada Allah s.w.t dan memperbanyakkan ibadatnya.

Hakikat Ahmad/Ahmadiah: Urusan pentadbiran Tuhan mengenai roh yang paling latif yang menjadi penjana kepada sekalian kehidupan. Ia adalah roh Nabi Muhammad s.a.w atau biasanya dipanggil Roh Muhammad. Dalam suasana roh ia dinamakan Ahmad.

Hakikat Alam: Kewujudan alam dalam ilmu Tuhan.

Hakikat Asma': Kewujudan pada sisi Tuhan, dalam ilmu Tuhan, dinamakan Hakikat. Ia adalah hal atau keadaan Tuhan ataupun suasana pentadbiran dan urusan Tuhan, samada mengenainya diri-Nya ataupun makhluk-Nya. Salah satu hal-hal mengenai Tuhan adalah nama-nama-Nya. Nama Tuhan adalah wujud Hakikat, iaitu wujud pemerintah yang menguasai sekalian makhluk. Boleh juga dikatakan bahawa nama-nama Tuhan adalah bakat-bakat ketuhanan atau Rububiah. Dalam pengalaman kerohanian seseorang sampai kepada peringkat menyaksikan hubungan nama-nama Tuhan dengan Diri-Nya yang menguasai nama-nama tersebut dan kekuatan serta bakat ketuhanan yang ada pada nama-nama Tuhan terhadap sekalian makhluk. Pengalaman yang demikian dikatakan dia mengalami Hakikat Asma'.

Hakikat Habiballah: Nabi Muhammad s.a.w boleh dilihat dari beberapa aspek. Baginda s.a.w adalah rasul-Nya yang membawa perkhabaran mengenai-Nya secara sempurna. Dalam aspek kerasulan yang paling lengkap dan sempurna ini baginda s.a.w dilihat sebagai bekas yang mempamerkan apa yang ada pada sisi Tuhan yang dinamakan Hakikat Muhammad. Baginda s.a.w adalah makhluk yang paling mengenali Allah s.w.t. Baginda adalah yang paling mengetahui cara-cara pengabdian kepada-Nya. Baginda juga merupakan orang yang paling mengasihi Allah s.w.t dan baginda jugalah makhluk yang paling dikasihi oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat kepada sekalian alam. Apabila melihat Nabi Muhammad s.a.w dalam aspek rahmaniat Tuhan baginda s.a.w dipanggil Habiballah atau kekasih Allah. Habiballah adalah hamba Tuhan yang paling benar dan paling diredai-Nya. Baginda s.a.w telah menunjukkan jalan yang paling benar dan paling diredai itu. Dalam pengalaman kerohanian seseorang menyaksikan Nabi Muhammad s.a.w dalam berbagai-bagai aspek seperti Hakikat Muhammad, Nur Muhammad, Muhammad Insan Kamil dan lain-lain. Semua aspek-aspek tersebut adalah kewujudan dalam ilmu Allah s.w.t. Penghayatan, daya rasa, ingatan dan kesedaran di dalam ilmu itu bercampur dengan kemabukan, kefanaan dan kebaqaan atau dikatakan berada dalam suasana hakikat. Apabila seseorang dapat melihat Nabi Muhammad s.a.w sebagai Habiballah yang berjalan sebagai manusia biasa di atas muka bumi, memakai sifat-sifat dan nilai kemanusiaan, baharulah dia dapat kembali kepada kesedaran biasa dengan sempurna atau baharulah dia boleh keluar dari makam hakikat dan masuk sepenuhnya kepada makam syariat. Penghijrahan dari makam hakikat kepada makam syariat sukar dilakukan kerana kesan kefanaan, kemabukan, zauk dan kebaqaan sukar hilang dari hati salik.

Hakikat Hewan: Kewujudan dalam ilmu Tuhan yang mengawal penciptaan keturunan semua hewan.

Hakikat hamba Tuhan: Sama seperti Hakikat Abdul Rab.

Hakikat Ibrahim/Ibrahimiyah: Hakikat kepada Nabi Ibrahim a.s iaitu kewujudan hakikat yang pada sisi Tuhan yang mengawal penciptaan Nabi Ibrahim a.s. Hakikat nabi-nabi mempunyai pengaruh dan kesan terhadap hakikat-hakikat yang lain. Hakikat Nabi Muhammad s.a.w mempunyai kesan dan pengaruh yang paling besar dan paling kuat terhadap semua hakikat-hakikat. Di bawah daripada itu adalah hakikat nabi-nabi yang lain termasuklah Hakikat Nabi Ibrahim a.as. Hakikat adalah suasana ketuhanan mengenai makhluk-Nya. Apa sahaja urusan Tuhan dinyatakan sebagai nur. Malaikat yang menjalankan urusan Tuhan adalah nur. Kesan hakikat yang diterima oleh cermin hati adalah dalam suasana nur juga. Hakikat Ibrahimiyah diterima oleh hati ketika berlaku keasyikan pada makam roh, iaitu roh haiwani yang menghidupkan jasad.. Pertembungan dengan kesan Hakikat Ibrahimiyah tersebut membuat mata hati menyaksikan nur atau cahaya berwarna merah yang bergemerlapan. Ini bukan bermakna Hakikat Ibrahimiyah itu berwarna merah. Kesan daripada hakikat umpama haba yang 'memanaskan' cermin hati dan hasilnya muncullah cahaya api dalam cermin hati itu. Begitu juga keadaannya apabila berlaku pertembungan hati dengan kesan hakikat-hakikat yang lain. Pancaran nur Hakikat Ibrahimiyah itu mendorong hati supaya kuat berserah diri kepada Allah s.w.t dan kuat bersabar dalam menempuh ujian.

Hakikat Insan: Suasana, keadaan atau hal Pentadbiran Tuhan yang mengenai umat manusia dan menguasai kewujudannya. Apa sahaja yang Tuhan tentukan untuk umat manusia sejak azali sampailah kepada yang abadi telah ada pada suasana Hakikat Insan yang pada sisi Tuhan. Apa sahaja yang terzahir daripada penguasaan Hakikat Insan akan menjadi manusia.

Hakikat Insan Kamil: Hakikat Insan Kamil adalah suasana kerohanian pada permulaan baqa, setelah melepasi peringkat fana. Dalam suasana tersebut sering muncul kesedaran tentang kesatuan wujud (wahdatul wujud) di mana Wujud Tuhan dengan wujud hamba disaksikan sebagai satu. Hakikat Insan Kamil merupakan pertemuan makam kehambaan dengan makam ketuhanan. Dalam suasana inilah ucapan "ana al-Haq!" selalu keluar dari mulut orang yang sedang karam di dalam kesedaran Insan Kamil itu. Ada juga orang yang memasuki suasana ini tanpa hilang kesedaran kehambaannya. Dia hanya menyaksikan Insan Kamil bukan menjadi Insan Kamil. Dalam hal ini Insan Kamil menjadi titik permulaan untuk dia menyaksikan hakikat kehambaan dirinya di dalam ilmu Allah s.w.t atau pada sisi-Nya.

Hakikat Isa/Isaiyah: Pertembungan hati dengan Hakikat Isaiyah berlaku ketika terjadi keasyikan pada peringkat kebatinan yang dinamakan khafi. Kesan pertembungan itu menyebabkan cermin hati tertangkap cahaya nur yang berwarna hitam yang bergemerlapan. Ketika ini gelombang kefanaan sedang kuat melambung hati salik. Kesedaran pancainderanya sudah tidak ada lagi. Dalam suasana yang demikian akan lahirlah sifat-sifat dan perwatakan yang dianggap sebagai tidak normal mengikut penilaian orang ramai. Nur yang terpancar melalui pertembungan dengan Hakikat Isaiyah itu membuat hati bertambah kasih kepada Tuhan dan ingatan hanya tertuju kepada-Nya semata-mata. Hubungan salik dengan yang selain Allah s.w.t tidak aktif. Pada tahap ini ingatan dan kesedaran salik hanyalah tertumpu kepada Allah s.w.t hinggakan dia tidak tahu dirinya dan makhluk lainnya.

Hakikat Kacang: Suasana, keadaan atau hal pentadbiran Tuhan yang menguasai kewujudan generasi kacang. Apa sahaja yang terzahir melalui penguasaan Hakikat Kacang akan menjadi kacang.

Hakikat kemanusiaan: Sama seperti Hakikat Insan, iaitu suasana pentadbiran Tuhan mengenai generasi manusia.

Hakikat kenabian: Suasana pentadbiran Tuhan yang berhubung dengan penciptaan nabi-nabi. Hakikat ini adalah Hakikat Muhammadiah yang menjadi penjana ilmu nabi-nabi. Setiap nabi memperolehi bahagian tertentu daripada pancaran nur Hakikat Muhammadiah, sementara Nabi Muhammad s.a.w memperolehi pancaran tersebut secara penuh.

Hakikat kepada semua hakikat-hakikat:` Hakikat Muhammadiah.

Hakikat kewalian: Suasana pentadbiran Tuhan yang berhubung dengan penciptaan wali-wali. Wali-wali menerima kesan pancaran nur Hakikat Insan Kamil dan Hakikat Abdul Rab. Derajat seseorang wali itu bergantung kepada kekuatan nur Insan Kamil dan Abdul Rab yang diterimanya.

Hakikat Khalifah: Setelah menemui hakikat dirinya sebagai Hakikat Abdul Rab salik memperolehi sepenuhnya kesedaran kemanusiaannya yang hilang ketika fana dan mula kembali sedikit demi sedikit ketika baqa. Pancaran nur Hakikat Khalifah memberi kekuatan dan bimbingan kepada salik untuk menguruskan hal-ehwal kehidupannya dan juga bidang yang diamanahkan kepadanya. Salik yang telah sampai ke peringkat ini sudah melepasi kesan kemabukan dan kefanaan dan dia boleh kembali kepada kehidupan orang ramai tanpa menimbulkan fitnah dan kekeliruan.

Hakikat Malaikat: Suasana pentadbiran Tuhan berhubung dengan penciptaan malaikat-malaikat.

Hakikat Manusia: Sama seperti Hakikat Insan.

Hakikat Maut: Bakat ketuhanan atau Rububiah yang mengawal dan berkuasa dalam bidang mematikan setiap yang hidup. Nur Rububiah yang menguasai maut itu menyinari malaikat Izrail, maka Izrail memperolehi pengetahuan tentang perjalanan maut dan bakat serta keupayaan mematikan dipikul oleh Izrail.

Hakikat Muhammad/Muhammadiah: Hakikat yang menyeluruh iaitu Hakikat yang menguasai sekalian hakikat-hakikat. Semua hakikat-hakikat yang lain merupakan bahagian-bahagian daripada Hakikat yang satu ini. Hakikat Muhammadiah adalah Hakikat yang penuh dan lengkap dan hakikat yang lain mempamerkan apa yang ada dengan Hakikat Muhammadiah itu. Gabungan semua hakikat-hakikat itu baharu menyamai Hakikat Muhammadiah ini. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t bermula atau dijanakan oleh Hakikat Muhammadiah. Apabila Hakikat Muhammadiah dilihat sebagai urusan Allah s.w.t dan dalam aspek hubungannya dengan Allah s.w.t ia dikenali sebagai Nur Allah. Apabila ia dilihat dalam aspek penjana kewujudan Nabi Muhammad s.a.w ia dikenali sebagai Nur Muhammad. Apabila ia dilihat dalam segi penjana manusia-manusia yang sempurna ia dikenali sebagai Insan Kamil. Apabila ia dilihat dalam segi penjana kepada sekalian kewujudan makhluk ia dinamakan Hakikat Insan atau Hakikat Alam. Pertembungan hati salik dengan Hakikat Muhammadiah berlaku dalam kefanaan, ketika ingatan dan kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk sekaliannya sudah tidak ada lagi. Pandangan mata hati kepada Hakikat Muhammadiah menimbulkan makrifat tentang urusan pentadbiran Tuhan yang meliputi segala sesuatu. Pengalaman kerohanian yang mengenai Hakikat Muhammadiah ini berlaku pada alam kebatinan yang dinamakan akhfa, iaitu batin atau kesedaran kerohanian yang paling dalam. Kesan daripada pancaran nur Hakikat Muhammad atau Nur Muhammad menyebabkan muncul cahaya hijau yang bergemerlapan pada cermin hati salik.

Hakikat Musa/Musawiyah: Hakikat kepada Nabi Musa a.s. Pertembungan hati salik dengan Hakikat Musawiyah berlaku dalam keasyikan pada makam Sir, iaitu Roh Insan yang menerima tiupan daripada hakikat roh atau dipanggil Roh Allah. Sinaran nur Hakikat Musawiyah melahirkan kecintaan kepada Allah s.w.t yang tidak berbelah bahagi.

Hakikat Nuh/Nuhiyah: Hakikat kepada Nabi Nuh a.s. Peranannya dan makamnya sama dengan Hakikat Ibrahimiyah. Sinaran nur Hakikat Nuhiyah menambahkan kekuatan salik untuk memperbetulkan jalannya menuju Allah s.w.t.

Hakikat Roh: Urusan Tuhan yang berhubung dengan roh-roh. Ia dinamakan Roh Allah, iaitu hakikat yang berada pada sisi Allah s.w.t yang menguasai semua roh-roh.

Hakikat Syariat: Kebenaran yang sebenar mengenai syariat yang diturunkan oleh Tuhan. Kefahaman mengenai hakikat syariat dan hakikat-hakikat yang lain dibukakan oleh Tuhan kepada sesiapa sahaja daripada kalangan hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, sekadar yang dikehendaki-Nya. Kefahaman sebenar tentang hakikat hanya terjadi melalui pembukaan Tuhan bukan melalui pembelajaran.

Hakikat Yang Menyeluruh: Hakikat Muhammadiah.

Hakikat Wali: Suasana, keadaan atau hal pentadbiran Tuhan yang menguasai kewalian. Sesiapa yang menerima penguasaan Hakikat Wali akan menjadi wali.

Hal: Pengalaman kerohanian mengenai Tuhan yang dialami oleh hati. Pengalaman hubungan hati dengan Tuhan itu membentuk rasa, zauk atau hal yang melahirkan pengenalan tentang Tuhan.

Hamba rabbani: Hamba yang sampai kepada tahap bersesuaian kehendaknya dengan kehendak Allah s.w.t. Apa sahaja yang sampai dan keluar daripadanya semuanya sudah ditapis dan diredai oleh Allah s.w.t. Hamba yang demikian menjadi wakil-Nya dan diizinkan untuk menggunakan cop mohor-Nya dalam melaksanakan tugasnya. Perkara-perkara luarbiasa selalu muncul daripada hamba-hamba yang demikian.

Haqqul yaqin: Keyakinan yang sebenar-benarnya. Dalam suasana haqqul yaqin, ilmu dan pengalaman kerohanian, termasuklah penemuan melalui kasyaf, adalah bersesuaian dengan al-Quran dan as-Sunah.
Haq: Yang Sebenarnya, iaitu Tuhan.

Hari akhirat: Suasana alam dan sekalian makhluk selepas berlakunya kiamat. Walaupun ia dinamakan hari tetapi ia tidak terlibat lagi dengan masa kerana sukatan masa diukur dengan peredaran bumi mengelilingi matahari. Dalam suasana akhirat tidak ada lagi neraca pengukur masa. Masanya ialah tanpa kesudahan atau abadi.

Hari kebangkitan: Hari akhirat.

Hari kiamat: Saat atau ketika Allah s.w.t menghancur-leburkan sekalian makhluk. Ikut hancur ialah sistem sebab musabab dan sistem alam. Kemudian Allah s.w.t bina alam yang baharu dengan sistem yang baharu. Dalam alam yang baharu itu tidak ada lagi ruang untuk beramal. Apa juga amalan yang hendak dilakukan mestilah dilakukan sebelum berlaku kiamat.

Haula dan Kuwwata: Kekuatan dan kekuasaan Allah s.w.t yang daripadanya makhluk memperolehi daya, upaya dan bakat yang dengan itu makhluk boleh memiliki berbagai-bagai kebolehan seperti bergerak, berkehendak, mendengar, melihat, merasa, berfikir dan lain-lain.

Hidayat: Pimpinan dari Tuhan.

Hijab: Kegelapan yang menutupi hati daripada menyaksikan kepada Alam Malakut dan hal-hal ketuhanan. Hati berhubung dengan Alam malakut dan hal-hal ketuhanan melalui nur. Kegelapan nafsu, tarikan anasir-anasir alam dan waswas syaitan menutupi cermin hati daripada menerima nur yang datangnya dari alam ghaib.

Hijab al-'Izzati: Hijab ketuhanan iaitu kekuasaan Tuhan yang menghalang segala sesuatu daripada menceroboh keesaan-Nya. Tidak ada makhluk yang dapat duduk bersebelahan dengan Allah s.w.t. Tidak ada ilmu dan makrifat yang dapat membatasi-Nya.

Hijab Keteguhan: Hijab al-'Izzati.

I
Ihsan: Suasana hati yang merasakan kehadiran Allah s.w.t tidak terhijab.

Ijtihad: Daya usaha orang alim dan arif dalam mencari tindakan dan pegangan yang benar berhubung dengan perkara-perkara yang baharu timbul di dalam masyarakat, berlandaskan sumber hukum syariah yang betul.

Iktikad: Pegangan yang berhubung dengan kepercayaan agama.

Ilham: Apa juga perkara abstrak yang sampai kepada manusia ada sumbernya. Fikiran dan khayalan tidak terjadi dengan sendirinya. Ada pencetus atau yang merangsang yang menggerakkan akal untuk berfikir atau berkhayal. Akal berfikir menurut rangsangan yang diterimanya. Perangsang akal itu dinamakan ilham. Ia bersumberkan alam ghaib yang tidak dapat difikir oleh akal. Jika akal boleh memikirkan mengenainya maka akal tidak memerlukan sumber tersebut. Kelemahan akal itu ditampung oleh ilham. Sumber yang merangsang akal itu ada dua iaitu yang baik dan yang jahat. Sumber yang baik datangnya dari alam malakut (alam malaikat) dan sumber yang jahat datangnya dari alam jin yang dibawa oleh syaitan. Nur yang terpancar dari alam malakut menggerakkan akal supaya memikirkan tentang kebesaran dan kemurahan Tuhan dan berbakti kepada-Nya. Cahaya api syaitan yang terpancar dari alam jin merangsang akal untuk melakukan kejahatan dan kerosakan.

Iliyyin: Sebahagian daripada syurga, di mana catatan amalan yang baik-baik ditempatkan.

Ilmu ahkam: Ilmu yang berhubung dengan hukum-hukum, dinamakan juga ilmu fikah.

Ilmu asrar: Ilmu yang berhubung dengan perkara-perkara ghaib dan seni, dinamakan juga ilmu tasauf.
ilmu ghaib: Ilmu laduni.

Ilmu hakikat: Ilmu ketuhanan.

Ilmu laduni: Pengetahuan yang diperolehi bukan melalui proses pembelajaran. Pengetahuan tersebut boleh dibahagikan sebagai pengetahuan umum dan pengetahuan khusus. Pengetahuan umum adalah naluri semulajadi yang dibekalkan kepada sesuatu kejadian, misalnya manusia mempunyai pengetahuan laduni untuk membezakan kesakitan yang dirasai di dalam perut apakah ianya kesakitan kerana mahu membuang air besar ataupun kesakitan kerana sakit perut biasa. Bagitu juga dengan bayi yang dikurniakan pengetahuan laduni untuk menangis sebagai menceritakan keadaannya yang lapar atau sakit. Laduni yang khusus adalah pengetahuan mengenai ketuhanan secara rohani. Pengetahuan yang demikian dicampakkan ke dalam hati tanpa perlu belajar. Seseorang itu dengan tiba-tiba sahaja mengetahui sesuatu tentang Tuhan atau perkara ghaib. Pembelajaran seterusnya berperanan menambahkan atau memperjelaskan pengetahuan tersebut.

Ilmu Mutlak: Ilmu Allah s.w.t. Ilmu Allah s.w.t adalah Ilmu secara keesaan. Tidak ada jarak, ruang dan masa dalam suasana Ilmu Tuhan. Tuhan mengetahui yang abadi tatkala Dia mengetahui yang azali. Tuhan mengetahui kematian seseorang hamba-Nya tatkala Dia mengetahui kelahirannya. Tuhan mengetahui bilangan ke sejuta tatkala Dia mengetahui bilangan yang pertama. Dia mengetahui yang akhir tatkala Dia mengetahui yang awal dan Dia mengetahui yang batin tatkala Dia mengetahui yang zahir.

Ilmu Rabbani: Seperti ilmu hakikat dan ilmu laduni, iaitu ilmu yang datangnya secara langsung daripada Allah s.w.t.

Ilmu tasawuf: Satu aliran ilmu dan kefahaman agama yang menitik-beratkan soal hati, penyuciannya dan hubungannya dengan Tuhan.

Iman syuhudi: Keyakinan yang lahir daripada penyaksian mata hati.

Insan Batin: Sama seperti Diri Batin.

Insan kamil: Sama seperti Hakikat Insan Kamil.

Insan Rahsia Allah s.w.t: Insan Batin atau Diri Batin yang berhubungan dengan Latifah Rabbaniah dan hal-hal ketuhanan dinamakan Insan Rahsia Allah s.w.t kerana hakikatnya tidak diketahui oleh makhluk, hanya Allah s.w.t yang mengetahuinya. Pengetahuan yang dikurniakan kepada makhluk mengenai perkara ini sangatlah sedikit.

Insan Sirullah: Insan Rahsia Allah s.w.t.

Iradat: Kehendak Allah s.w.t.

Israk: Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menunggang kenderaan alam ghaib yang dinamakan buraq. Dalam perjalanan tersebut Rasulullah s.a.w diperlihatkan seluruh bahagian alam dunia termasuklah bahagiannya yang ghaib dan tersembunyi. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke sebelas Nabi Muhammad s.a.w diutuskan menjadi rasul.

Istidraj: Kesenangan dan kemewahan yang mendatangi secara berterusan kepada orang yang mengingkari perintah Allah s.w.t, berbuat dosa dan maksiat. Kesenangan dan kemewahan yang demikian membuat manusia menjadi lalai dan bertambah kekufuran serta kefasikannya. Ketika mereka sedang asyik dengan kesenangan dan kemewahan tersebut Tuhan datangkan bala dengan tiba-tiba sehingga apa yang dimilikinya menjadi tidak bermanfaat kepadanya. Jadilah mereka orang yang berputus asa.

Istighfar: Permohonan kepada Allah s.w.t agar diampunkan dosa.

Istiqamah: Menetap dengan sesuatu amalan atau suasana.

Ittisal: Selepas suasana wusul sampailah kepada suasana ittisal, iaitu berhubungan dengan Allah s.w.t. Dalam suasana yang demikian nama tidak terlintas lagi dalam ingatan, yang ada hanyalah pandangan mata hati yang mengandungi kejeliraan, kemesraan dan kelazatan. (Sila lihat maksud wusul untuk memahami maksud ittisal).

Anda sedang membaca Kamus Istilah Sufi G - I. Untuk mengikuti posting terbaru silahkan Liked Facebook Fanpage: Mistikus Cinta | Follow Twitter: @Sufipedia | Official LINE of Sufipedia Nusantara, LINE ID: @sufipedia | Telegram Group: @sufipedia. Terima kasih.

Post a Comment

 
Top